Thursday, January 15, 2015

Buah Jambu Batu Yang Banyak Khasiat

Daku Amat Menyintai Mu

BUAH jambu batu atau nama saintifiknya Psidium guajava adalah buah tempatan dari jenis tumbuhan perdu yang banyak cabang. Tingginya dapat mencapai 12 meter, manakala daunnya berbentuk bulat telur, kasar dan kusam. Ianya juga mempunyai bunga yang berwarna putih dan buahnya berisi serta banyak biji. 

Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan
Yang banyak beri manfaat kepada kesihatan manusia

Buah jambu batu banyak ditanam di ladang atau di sekeliling rumah menyebabkan ia mudah didapati di mana-mana sahaja sama ada dalam bentuk mentah ataupun jus. Buah ini digemari ramai bukan sahaja disebabkan rasanya yang enak, ranggup dan segar tetapi juga kerana mengandungi banyak khasiat terdapat di dalamnya. Malah ia juga murah dan boleh dinikmati sepanjang masa. 

Terdapat dua jenis jambu batu di negara ini iaitu jenis isi putih dan merah. Kedua-duanya mempunyai nilai kesihatan yang tinggi. Namun yang paling penting apabila kita mengambil sesuatu makanan termasuklah buah-buahan adalah kandungan vitaminnya terhadap tubuh badan kita. Jadi, apakah yang terdapat di dalam buah jambu batu sehingga ia dikatakan begitu berkhasiat sekali? 

Jambu batu adalah buah yang paling berkhasiat bagi membekalkan vitamin dan mineral kepada tubuh manusia. Jambu batu mengandungi vitamin C yang tinggi dalam bentuk asid askorbik, iaitu 3-6 kali lebih tinggi dari buah oren, 10-30 kali lebih banyak daripada pisang dan 10 kali lebih banyak daripada buah betik. Selain vitamin C, jambu batu juga mengandungi vitamin A yang agak banyak, vitamin B1 dan B2, zat besi fosforus, kalsium, kalium,protein dan serat. 

Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan berfungsi yang banyak mendatangkan manfaat kepada kesihatan manusia. Tumbuhan ini mengandungi tanin pada daun, kulit batang dan buahnya. Buah jambu batu mengandungi banyak lemak, damar, minyak menguap dan garam-garam mineral. Jambu batu juga mengandungi avikularin danguaijaverin yang berkhasiat sebagai antibakteria. 

Buah jambu batu snek terbaik menurunkan berat badan 

Jika anda ingin menurunkan berat badan, buah jambu batu adalah pilihan snek terbaik untuk anda dengan syarat anda mengamalkannya setiap hari sama ada dimakan mentah termasuk kulitnya sekali atau jusnya yang dicampur dengan sedikit cuka epal. Namun jusnya mestilah jus asli jambu batu yang tidak dicampur dengan gula. 

Buah jambu batu juga efektif menurunkan paras kolesterol dalam darah manusia dan amat bagus sekiranya dimakan setiap hari. Sebanyak 18.8 peratus kolestrol mampu diturunkan jika diambil secara konsisten dalam masa seminggu. 

Buah jambu batu juga dikatakan boleh menurunkan paras gula dalam tubuh selain dapat mengawal tekanan darah. Ia juga mampu meningkatkan sel darah merah dan putih dalam tubuh. Wanita yang menghadapi masalah mual di awal kehamilan adalah digalakkan mengambil buah jambu batu kerana ia dapat mengurangkan atau menghilangkan mual. 

Pokok buah jambu batu juga mempunyai pelbagai kegunaan, di antaranya ialah akar, kulit dan batang serta daunnya direbus dalam air yang mendidih, kemudiannya airnya itu sangat sesuai diminum bagi mengubati sakit perut dan cirit birit. Air rebusan itu juga boleh digunakan untuk membersihkan selaput lendir proses usus yang terdapat pada bayi (prolapsysani). Luka-luka boleh diubati dengan menggunakan daun jambu batu jika daun tersebut ditumbuk dan ditampal pada tempat luka tersebut. 

Pengambilan perlu konsisten dan dalam kuantiti mencukupi 

Memang banyak khasiat buah jambu batu, bagaimanapun pengambilan buah jambu batu perlu konsisten dan diambil dalam jumlah yang mencukupi bagi memastikan khasiatnya berupaya memberi tindak balas kepada tubuh secara berkesan. 

Ketua Unit Sains Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rokiah Yusof berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil jambu batu sebanyak 400 gram sehari iaitu sebiji setengah selama empat minggu. Menurut beliau, buah itu perlu dimakan bersama kulit-kulitnya sekali kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi. 

Dr. Rokiah memberitahu, jambu batu sesuai diambil untuk amalan diet seimbang terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan. Beliau menasihatkan supaya buah jambu batu dijadikan sebagai amalan tetap dalam gaya pemakanan. 

No comments: