Monday, May 21, 2012

Hukum Majlis Tahlil Arwah

Assalamualaikum wbt sahabat blogger semua. Semoga kalian senantiasa mendapat rahmat Allah SWT. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Semoga syafaat baginda kita perolehi kelak.

Semalam terdapat kematian berlaku di kawasan kejiranan saya. Saya pun hanya mendapat panggilan telefon dari jiran berdekatan memaklumkan akan perkara ini. Oleh kerana saya bertugas di luar dan lewat petang baharu saya pulang ke rumah saya tidak dapat menghadiri majlis pengebumiannya. Walau bagaimanapun, sebelah malam yakni selepas solat Isyak saya sempat menghadiri majlis tahlil yang diadakan di rumah jiran saya tersebut. Saya pun berjumpa dengannya dan mengucapkan takziah atas pemergian ahli keluarganya.

Kemudian, pagi tadi saya ada kerja luar dan petang ini saya berada di pejabat dan teringat untuk membuat entri berkenaan hal ini. Saya pun cuba google menggunakan perkataan hukum majlis tahlil arwah. Dan saya jumpa fakta yang boleh dipelajari, diyakini dan dipercayai di laman blog ini. Laman ini menerangkan dengan jelas apa itu majlis tahlil dan arwah. Ia sebenarnya :-


APA MAKSUD TAHLIL ARWAH DAN BAGAIMANA HUKUMNYA PULA ?

Tahlil bermaksud suatu ungkapan atau kata-kata yang bertujuan memuji dan membesar-besarkan Allah SWT serta iringan doa agar si mati diberikan pengampunan oleh Allah SWT.
Menurut Doktor Sayyid Sabiq, amalan kebaikan yang dilakukan oleh keluarga si mati dan kerabatnya yang memberi manfaat ialah:
1. Doa dan Istighfar
Imam Ar-Ramli di dalam Minhaj dan Ibnu Silah mengakui bahawa bacaan orang hidup kepada roh si mati diterima sebagaimana kita berkata:
Maksudnya: “Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang kami baca kepadanya!”
2. Sedekah
Imam Muslim menegaskan berdasarkan kepada Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud:
Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Sesungguhnya ayahku telah meninggal dunia dan meninggalkan harta. Beliau telah mewasiatkan harta tersebut kepadaku. Apakah patut aku bersedekah dengan harta tersebut? Sabda Rasulullah SAW: “Ya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Nasai’e)
Amalan ini turut disokong oleh Ibnu Taimiyyah dan Imam Nawawi.
3. Haji
Ibnu Abbas meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW maksudnya:
Telah datang seoarang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan tidak sempat melakukan ibadah haji. Apakah boleh aku mengerjakan Haji untuknya?” Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerjakanlah Haji untuknya.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)
Imam Nawawi berkata di dalam kitab Syarah Muslim bahawa kebanyakan ulama’ termasuk Imam Syafie’ berpendapat harus mengerjakan Haji ke atas si mati samaada Haji Fardhu atau Haji Nazar.
4. Membaca Al-Quran
Imam Syafie’ menyebut di dalam kitab Al-Fiqhi Mazahib Al-Arba’ah bahawa pahala membaca Al-Quran sampai kepada mayat. Begitu juga Ibnu Qudamah di dalam kitabnya Al-Mughni menyebut bahawa pahala bacaan Al-Quran itu sampai kepada si mati berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bacalah surah Yasin kepada orang mati di kalangan kamu.”
Beliau menyebut lagi, bahawa ijma’ ulama’ bersepakat bahawa pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati dan mereka sentiasa melakukannya dan tidak ada di kalangan mereka yang mengingkari.
Manakala di dalam Nihayah Al-Muhtaj menyebutkan:
“Disunatkan membaca Al-Quran dan berdoa setelah selesai membacanya. Sesungguhnya ia memberi manfaat kepada si mayat dan doa selepas membaca Al-Quran lebih cepat dimakbulkan.”
Sekian, Wallahhu a’lam.
Sumber rujukan:
Al-Fiqhi Mazahib Al-Arba’ah, Bab Wasiah bil haj wal qira’ah, Abdul Rahman Juzairi, Juz’ Salis, Darul Fikr.
Siri Kefahaman Bid’ah, Dr. Umar Abdullah Kamil diterjemahkan oleh Fauwaz Fadzil Noor, PMRAM.
Kubur Hukum dan Permasalahan, Dr. Umar Abdullah Kamil diterjemahkan oleh Fauwaz Fadzil Noor, PMRAM.
Panduan Lengkap Kehidupan Muslim, Haji Nik Azran Muhamed dan Warnidah Wan Abdul Razak, PMRAM.



Kesimpulannya, dalam melakukan sesuatu kita perlu juga mengetahui akan hukum hakamnya agar kita tidak melakukan sesuatu yang tidak berfaedah atau tiada dalam nas. Dalam hal yang berlainan pula, kita jangan sesekali memperkecilkan apa yang orang lain lakukan kononnya mereka salah dan kita tahu akan semua perkara. Sama-samalah kita semua berdoa agar ibadah yang kita lakukan selama ini diterima Allah SWT dan kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi. Aminnnnn..

copyright..

No comments: